Viva rempuh lori, empat lelaki maut tersepit
KOTA KINABALU: Empat lelaki maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh sebuah lori lima tan yang diletakkan di bahu jalan di Taman Jaya Diri, Jalan Sepanggar, awal pagi ini.
Dalam kejadian itu, keempat-empat mangsa dilaporkan tersepit di dalam Perodua Viva berkenaan.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 2.37 pagi sebelum sembilan anggota dari BBP Kota Kinabalu dan BBP Lintas digerakkan ke lokasi.
Pasukan bomba menggunakan peralatan khas menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 3.50 pagi, namun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan.
Tiga mangsa masing-masing berusia 21, 23 dan 24 tahun, manakala umur seorang lagi belum dikenal pasti dalam laporan awal.
Mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi yang turut dibantu PDRM, KKM dan APM ditamatkan pada jam 3.55 pagi.

