Noorazli sedia mohon maaf jika ucapan PAU singgung penganut Kristian

KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said berkata beliau bersedia memohon maaf jika ucapannya pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 menyinggung perasaan penganut Kristian.

Katanya, kisah yang dikongsikan ketika berucap digunakan sebagai analogi dan bukan bertujuan menghina atau memperlekeh mana-mana agama.

“Sekiranya penyampaian saya ini menimbulkan salah faham atau menyinggung perasaan mana-mana pihak, khususnya penganut agama Kristian, saya dengan penuh rendah hati bersedia memohon maaf,” katanya di Facebook.

Noorazli mengakui cerita yang menyentuh figura atau rujukan keagamaan boleh ditafsirkan secara berbeza, terutama dalam masyarakat berbilang agama.

Beliau berkata reaksi orang ramai terhadap ucapannya diambil maklum dan perkara itu akan menjadi pengajaran supaya lebih berhati-hati memilih analogi pada masa depan.

“Saya menghormati setiap agama dan kepercayaan serta sentiasa menjunjung keharmonian, sikap saling menghormati dan persefahaman,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa individu yang didakwa membuat jenaka mengenai paderi pada PAU 2026 supaya memohon maaf secara terbuka.

Akmal turut menegaskan kenyataan itu adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian UMNO.

Berita Berkaitan