Warisan gesa perwakilan UMNO mohon maaf, jangan sentuh sensitiviti agama
PENSIANGAN: Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan, Mudi Dubing menggesa perwakilan UMNO yang didakwa mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti agama supaya memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat Kristian.
Beliau berkata, perbezaan politik dan kebebasan bersuara tidak harus dijadikan alasan untuk mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung agama serta kepercayaan masyarakat lain.
“Malaysia terdiri daripada pelbagai agama, kaum dan budaya. Kita boleh berbeza pandangan dalam politik, tetapi kita wajib menghormati agama dan kepercayaan antara satu sama lain,” katanya.
Menurutnya, Sabah sejak sekian lama dikenali sebagai negeri yang mengamalkan toleransi tinggi antara penganut pelbagai agama.
Katanya, keharmonian itu perlu terus dipertahankan dan tidak sepatutnya terjejas akibat kepentingan politik.
“Memohon maaf tidak akan menjatuhkan maruah seseorang atau parti. Sebaliknya, ia menunjukkan kematangan, kerendahan hati dan rasa hormat,” katanya.
Mudi turut mengingatkan semua ahli politik supaya tidak menjadikan agama dan kepercayaan sebagai bahan untuk meraih sokongan politik.

