Operasi Todak: 10 PATI dicekup, dua penjaja dikompaun

KOTA KINABALU: Seramai 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina ditahan manakala dua penjaja dikenakan kompaun dalam Operasi Todak yang diselaraskan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bersama beberapa agensi penguatkuasaan, Isnin lalu.

Operasi bermula jam 11 malam itu dijalankan di kawasan Sabah Fish Marketing Sdn. Bhd. (SAFMA), Pasar Besar Kota Kinabalu dan perairan sekitarnya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sabah serta SAFMA.

DBKK dalam kenyataan memaklumkan JIM memeriksa seramai 521 Orang Yang Diperiksa (OYDP) sebelum menahan 10 warga Filipina yang disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Kesemua mereka dihantar ke Depot Imigresen Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

Di kawasan perairan, Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sabah bersama APMM memeriksa empat bot dan menahan lesen asal sebuah bot selepas mendapati dokumen pengenalan pelaut warga asing telah tamat tempoh.

APMM turut menggerakkan dua aset maritim bersama 14 anggota bagi memeriksa sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT), dengan tujuh kru diserahkan kepada JIM untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, DBKK mengeluarkan kompaun terhadap dua penjaja kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah selain menyita sebuah motosikal dan beberapa peralatan perniagaan.

PDRM pula menggerakkan 21 anggota daripada Balai Polis Kota Kinabalu, Team Cantas dan Pasukan Polis Marin bagi memastikan operasi berjalan lancar.

DBKK berkata operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan Kota Kinabalu kekal bersih, selamat dan teratur.

Berita Berkaitan