Penduduk Kampung Kurnia Jaya gesa penyelesaian isu banjir berulang
TAWAU: Seorang penduduk Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, menggesa pihak berkuasa memberi perhatian terhadap masalah banjir yang didakwa berulang setiap kali musim hujan.
Menerusi satu hantaran di platform Threads, pengguna dikenali sebagai Pian Payau berkata keadaan itu bukan kali pertama berlaku, malah semakin membimbangkan apabila air banjir memasuki rumah penduduk dan membawa bersama sampah sarap.
“Asal musim hujan, perkara yang tidak dapat dielakkan ialah banjir. Ini bukan kali pertama. Paling menyedihkan ialah sampah bersepah, air naik sampai rumah,” katanya.
Beliau berkata penduduk berharap pihak berwajib dapat meninjau kawasan kampung mereka serta mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani masalah tersebut.
“Kami cuma mahu hidup dengan aman. Bila hujan turun, tiada lagi masalah banjir dan sampah sarap,” katanya lagi.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial yang berharap penyelesaian jangka panjang dapat dilaksanakan bagi mengatasi isu banjir dan pengurusan saliran di Kampung Kurnia Jaya.

