Penjual buah maut dirempuh lori balak di Sandakan

SANDAKAN: Seorang penjual buah maut selepas gerainya dirempuh lori treler membawa muatan kayu balak dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Labuk, Batu 27, di sini pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa, Ernawati Lajaruddin, 50, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Ulu Dusun.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, kemalangan membabitkan sebuah lori treler membawa kayu balak, lori kargo 10 tan dan sebuah kereta.

Menurutnya, seorang wanita berusia 31 tahun yang menaiki lori kargo turut mengalami kecederaan parah selepas tersepit di bahagian hadapan kenderaan berkenaan.

“Kemalangan itu turut menyebabkan seorang wanita berusia 31 tahun yang menaiki lori kargo cedera parah kerana tersepit di bahagian depan lori,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, tiga lagi mangsa termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dilaporkan selamat.

Menurut George, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kerja-kerja mengalihkan kayu balak yang bertaburan di atas jalan raya turut dilaksanakan bagi membolehkan laluan berkenaan digunakan semula oleh pengguna jalan raya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung mengesahkan identiti mangsa yang maut sebagai Ernawati Lajaruddin.

Katanya, operasi menyelamat yang dijalankan pasukan bomba tamat pada jam 9.34 pagi.

Berita Berkaitan