Atlet Sabah terima durian runtuh RM2.33 juta

KOTA KINABALU: Kejayaan atlet Sabah mengharumkan nama negeri pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 dan Para SUKMA 2026 mendapat pengiktirafan apabila kerajaan negeri menyalurkan insentif kemenangan keseluruhan berjumlah RM2.33 juta.

Insentif sebanyak RM2,336,900 itu bukan sahaja diberikan kepada atlet yang meraih pingat, malah turut membabitkan jurulatih dan pengurus pasukan yang memainkan peranan penting dalam kejayaan kontinjen Sabah.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, RM697,400 diperuntukkan kepada pemenang pingat SUKMA, manakala RM1.109 juta kepada pemenang pingat Para SUKMA.

Katanya, jurulatih turut menerima insentif berjumlah RM428,500, sementara RM102,000 disalurkan kepada pengurus pasukan sebagai penghargaan terhadap komitmen mereka.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan pada Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Kontinjen SUKMA dan Para SUKMA Negeri Sabah 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), malam tadi.

Nizam berkata, pemberian insentif berkenaan membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam menghargai pengorbanan atlet dan pegawai sukan yang berusaha meningkatkan pencapaian Sabah di pentas kebangsaan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kerajaan negeri turut meneruskan Program Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada atlet yang layak dengan sumbangan RM50 sebulan sejak 2023.

Menurutnya, inisiatif itu bertujuan memastikan kebajikan dan masa depan atlet terus mendapat perhatian, selain menyediakan asas simpanan jangka panjang.

Beliau turut menekankan kepentingan pembangunan sukan secara berterusan menerusi penambahbaikan prasarana, penggunaan teknologi sukan dan usaha mengenal pasti bakat baharu.

Sementara itu, Nizam turut memuji pencapaian kontinjen olahraga Sabah yang berjaya mempertahankan gelaran juara keseluruhan olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) selama tiga tahun berturut-turut sejak 2024.

Katanya, kejayaan itu membuktikan Sabah mempunyai barisan pelapis berpotensi untuk terus bersaing di peringkat lebih tinggi.

Beliau berharap insentif yang disalurkan mampu menjadi pembakar semangat kepada atlet negeri itu untuk terus memburu pingat dan mencipta kejayaan pada kejohanan kebangsaan serta antarabangsa.

Berita Berkaitan