Penunggang maut dipercayai dilanggar lari, polis cari saksi
SANDAKAN: Seorang lelaki warga Indonesia maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai dilanggar sebuah kenderaan dalam kejadian di Jalan Sandakan-Lahad Datu berhampiran Kampung Segaliud.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP George Abd Rakman berkata kejadian berlaku kira-kira jam 8.25 malam pada 20 September lalu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa sedang menunggang motosikal jenis SM Sport dari Batu 32 Sandakan menuju Kampung Segaliud sebelum dipercayai dilanggar sebuah kenderaan yang jenis dan nombor pendaftarannya belum dikenal pasti.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pembantu perubatan Hospital Kinabatangan.
Polis kini meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat mengenai kenderaan terbabit supaya tampil membantu siasatan.
Saksi boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Faiz menerusi talian 089-242222 sambungan 127.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

