POIC Port mampu jimatkan perbelanjaan kerajaan, kata Madius

KOTA KINABALU: POIC Port Lahad Datu mempunyai kelebihan sebagai pelabuhan air dalam semula jadi yang mampu menjimatkan perbelanjaan kerajaan dalam jangka panjang, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Madius berkata, kelebihan itu membolehkan kapal bersaiz besar berlabuh tanpa memerlukan kerja-kerja pengorekan dasar laut secara berterusan seperti yang diperlukan di beberapa pelabuhan lain.

Menurutnya, kerajaan membelanjakan sejumlah besar wang setiap tahun bagi kerja mendalamkan alur pelayaran, mengorek kelodak dan mengurus pembentukan sand bar di pelabuhan tertentu.

“Berbeza dengan POIC Port yang dikurniakan kelebihan semula jadi sebagai pelabuhan air dalam, sekali gus memberi kelebihan operasi dan menjimatkan perbelanjaan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Enakmen Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (Pindaan) 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Beliau berkata, kerajaan negeri wajar merangka strategi untuk memanfaatkan kelebihan itu bagi menarik lebih banyak industri berat, industri hiliran, hab logistik serta pelaburan antarabangsa ke Sabah.

Madius yang juga Pengerusi POIC Sabah Sdn Bhd berkata, POIC dibangunkan bukan sekadar sebagai pelabuhan, tetapi sebagai ekosistem perindustrian yang menghubungkan pelabuhan dengan kawasan perindustrian, pelabur dan rantaian bekalan global.

Berita Berkaitan