Polis buru lima lelaki belasah pemuda hingga retak tulang hidung di Inanam
KOTA KINABALU: Polis giat mengesan lima lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian membelasah seorang pemuda berusia 23 tahun menggunakan topi keledar di hadapan sebuah premis di KK Taipan, Inanam, pada Ahad.
Dalam kejadian itu, mangsa dipercayai dipukul dan ditendang sekumpulan lelaki tidak dikenali sehingga mengalami keretakan tulang hidung, selain lebam serta calar pada beberapa bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada ibu mangsa pada jam 5.48 petang Isnin.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai diserang sekumpulan lelaki termasuk menggunakan topi keledar.
“Polis kini giat mengesan dan mengenal pasti lima lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Shahrudin berkata, mangsa kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu atau balai polis berhampiran.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis,” katanya.
Terdahulu, rakaman video berdurasi 33 saat memaparkan seorang lelaki dipercayai dipukul menggunakan topi keledar oleh sekumpulan individu di kawasan berkenaan tular di media sosial.

