Wanita Pertubuhan Islam Seluruh Sabah dan WP Labuan (USIA) diseru mempergiat usaha menarik penyertaan golongan muda dan beliawanis dalam Puteri USIA.
KOTA KINABALU : Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad berkata, generasi pelapis perlu dipersiapkan dengan ilmu pengetahuan, akhlak dan kemahiran yang bersesuaian dengan keperluan semasa.
“Giatkan usaha menarik penyertaan golongan muda dan beliawanis dalam Puteri USIA bagi memastikan kesinambungan kepimpinan serta kerelevanan organisasi pada masa hadapan.
“Kalau kita mahu USIA terus relevan 20 atau 30 tahun akan datang, hari ini kita mesti membina pelapisnya.
“Puteri USIA perlu diperkasa sebagai wadah melahirkan generasi wanita yang berilmu, berakhlak, berdaya saing serta mempunyai keupayaan dalam bidang kepimpinan dan teknologi.
“Wanita USIA mempunyai kekuatan tersendiri kerana peranan mereka yang dekat dengan keluarga, masyarakat dan generasi muda, sekali gus berpotensi menjadi penggerak kepada pembangunan ummah,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Amal Citra Madani Wanita USIA sempena Ulang Tahun Ke-57 USIA di sini, pada Sabtu.
Beliau turut menyeru Wanita USIA supaya terus membantu kepimpinan organisasi memperkukuh gerakan di seluruh Sabah menerusi peluasan dakwah, pendidikan dan khidmat masyarakat.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Faridah Tussin yang juga penaung Badan Wanita USIA Negeri Sabah.
Dalam majlis yang sama, turut diadakan penyampaian anugerah kepada tiga Ketua Wanita USIA bahagian, selain peragaan busana Muslimah, persembahan hiburan dan penyampaian hadiah pakej Umrah kepada pengunjung bertuah.

