PPM Sabah rampas 28,000 liter diesel, nilai keseluruhan RM2.08 juta
SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah melalui PPM Sandakan membongkar kegiatan disyaki penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam satu operasi di sebuah jeti di daerah ini, semalam.
Bertindak hasil maklumat orang awam, pasukan PPM menjalankan risikan sebelum mengesan sebuah lori tangki dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 3.55 petang.
Pemeriksaan lanjut mendapati berlaku aktiviti pemindahan minyak diesel daripada sebuah kapal kargo ke lori tangki berkenaan.
Dua lelaki masing-masing berusia 25 dan 28 tahun ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen berkaitan sumber bekalan minyak diesel daripada pembekal yang sah ketika pemeriksaan dijalankan.
Dalam operasi itu, PPM merampas sebuah kapal kargo jenis besi, sebuah lori tangki Nissan Diesel berkapasiti 15,000 liter, kira-kira 28,000 liter minyak diesel serta beberapa peralatan dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.
Minyak diesel yang dirampas dianggarkan bernilai RM130,760, manakala jumlah keseluruhan rampasan membabitkan kapal, kenderaan dan peralatan lain dianggarkan bernilai RM2,082,760.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Bagi tempoh Januari hingga September 2026, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 112 kes di bawah akta sama, melibatkan 103 tangkapan dengan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM25,869,045.30.

