Raime mahu kelemahan MyJPJ diatasi segera
TENOM: Bekas Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi, menggesa kerajaan mengambil tindakan segera bagi mengatasi kelemahan aplikasi MyJPJ yang didakwa terus menimbulkan kesukaran kepada pengguna.
Raime, yang juga Ketua Bahagian UMNO Tenom, berkata beliau menerima banyak aduan daripada penduduk mengenai gangguan sistem, aplikasi yang perlahan serta kegagalan menyelesaikan urusan secara dalam talian.
Katanya, beliau sendiri mengalami kesukaran menggunakan aplikasi berkenaan dan menyifatkan keadaan itu bercanggah dengan matlamat pendigitalan perkhidmatan kerajaan.
“Jika akhirnya rakyat tetap perlu hadir ke kaunter selepas menggunakan aplikasi, objektif pendigitalan gagal dicapai,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau turut menggesa Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan penambahbaikan menyeluruh terhadap aplikasi itu serta meningkatkan kecekapan talian bantuan pengguna.

