Restoran makanan laut dikompaun, gagal pamer harga
LABUAN: Sebuah restoran makanan laut di sini dikenakan kompaun oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selepas didapati gagal mempamerkan harga jualan tunai kepada pelanggan.
Tindakan itu diambil susulan aduan pengguna yang membawa kepada pemeriksaan di premis berkenaan kira-kira 7 malam semalam.
Hasil pemeriksaan mendapati harga bagi menu makanan laut yang ditawarkan tidak dinyatakan dalam buku menu yang disediakan kepada pelanggan.
Kesalahan itu merupakan ketidakpatuhan terhadap Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Jika disabitkan kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM50,000, manakala pertubuhan perbadanan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000.
KPDN Labuan mengingatkan peniaga supaya mempamerkan harga barangan atau caj perkhidmatan dengan jelas agar pengguna mengetahui harga sebelum membuat pesanan atau pembelian.
Orang ramai turut digalakkan membuat aduan jika mengesan sebarang ketidakpatuhan.

