272 PTI Filipina dihantar pulang

Kota Kinabalu: Seramai 272 pendatang tanpa izin (PTI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal menerusi laluan laut selepas selesai menjalani hukuman masing-masing.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah memaklumkan, kumpulan itu dibawa dari Depot Imigresen Kota Kinabalu ke ICQS Lahad Datu sebelum menaiki feri komersial menuju Pelabuhan Bongao, Filipina.

Pemindahan membabitkan 166 lelaki, 63 wanita, 17 kanak-kanak lelaki dan 26 kanak-kanak perempuan, dengan tahanan berusia antara enam bulan hingga 68 tahun.

Semua kanak-kanak terbabit diiringi ibu bapa atau pengiring masing-masing.

Menurut JIM Sabah, semua tahanan sudah selesai menjalani hukuman dan memiliki dokumen perjalanan sah untuk proses penghantaran pulang.

Setakat ini, seramai 5,233 tahanan PTI sudah dipindahkan ke negara asal, dengan warga Filipina paling ramai iaitu 3,455 orang, diikuti Indonesia (1,488), China (127), Pakistan (120), Vietnam (21) dan 22 warga negara lain.

JIM Sabah turut mengingatkan masyarakat supaya tidak menggaji atau melindungi PTI.

Berita Berkaitan