Shafie mahu pertahanan Sabah diperkukuh susulan aktiviti ketenteraan di Balabac
KOTA KINABALU: Perkembangan aktiviti ketenteraan di Balabac, Filipina yang terletak berhampiran Sabah perlu dipandang serius, namun rakyat negeri ini tidak perlu panik, kata Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Beliau berkata, peningkatan aktiviti ketenteraan berhampiran perairan Sabah menunjukkan keadaan keselamatan di rantau ini sedang berubah dan memerlukan perhatian sewajarnya.
Menurutnya, kerajaan perlu memastikan keupayaan pertahanan, pengawasan maritim dan kawalan sempadan Sabah berada pada tahap mencukupi, khususnya di kawasan utara dan pantai timur.
“Apa yang berlaku di Balabac mengingatkan kita bahawa keadaan keselamatan di sekitar Sabah sedang berubah.
“Dengan peningkatan aktiviti ketenteraan begitu hampir dengan perairan kita, kita mesti memastikan pertahanan, pengawasan maritim dan kawalan sempadan Sabah benar-benar mencukupi,” katanya dalam kenyataan.
Shafie berkata, Malaysia perlu terus mengekalkan dasar luar bebas dan berkecuali serta tidak terheret dalam persaingan kuasa besar.
Katanya, hubungan baik dengan Amerika Syarikat dan China perlu terus dipelihara dengan setiap keputusan dibuat berasaskan kepentingan Malaysia, kedaulatan negara dan keselamatan rakyat.
Beliau turut menggesa kerajaan Persekutuan memastikan Angkatan Tentera Malaysia, ESSCOM dan agensi keselamatan lain mempunyai aset, teknologi serta sumber mencukupi.
Dalam masa sama, katanya, saluran diplomasi bersama Filipina, Amerika Syarikat, China dan negara ASEAN perlu terus digunakan bagi memastikan keamanan dan kestabilan rantau ini terpelihara.
Shafie berkata, rakyat Sabah tidak perlu takut, namun perlu kekal berwaspada dan bersedia.

