Sindiket seleweng diesel tumpas, RM524,000 dirampas
KOTA KINABALU: Kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi di sebuah premis di Kampung Kibabaig, Penampang, terbongkar selepas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menyerbu lokasi berkenaan dan merampas 18,060 liter diesel serta pelbagai peralatan bernilai lebih RM524,000.
Dalam serbuan pada Selasa itu, dua lelaki berusia 57 dan 39 tahun turut ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan berkenaan.
PPM Wilayah 4 Sabah dalam kenyataan memaklumkan, serbuan dijalankan selepas pihaknya melakukan intipan dan pemantauan selama dua hari terhadap premis terbabit.
Menurut kenyataan itu, pemeriksaan menemukan sejumlah minyak diesel bersama peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pemindahan bahan api secara tidak sah.
“Pemeriksaan lanjut mendapati sumber bekalan diesel tidak mempunyai permit sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah,” menurut kenyataan itu.
Antara barangan yang dirampas ialah sebuah lori tangki Nissan mengandungi 10,000 liter diesel, sebuah lori prime mover dan sebuah tangki skid berkapasiti 20,000 liter yang mengandungi 8,000 liter diesel.
Polis turut menyita enam tong dram, termasuk satu berisi 60 liter diesel, selain pam minyak, hos dan peralatan pemindahan bahan api.
Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dan peralatan dianggarkan RM524,176.20.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan atau penyelewengan.
Sementara itu, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 126 kes penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 sepanjang tahun ini.
Daripada jumlah itu, sebanyak 113 tangkapan dilakukan dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM30.65 juta.

