Syabu RM6,000 dalam hotel, lelaki dicekup

PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun dicekup bersama sembilan paket disyaki syabu seberat 52.09 gram dalam serbuan di sebuah hotel di Putatan, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, suspek ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Penampang menerusi Op Gempur Khas JSJN Bil. 02/2026 kira-kira jam 10.30 malam.

Katanya, pemeriksaan menemui sembilan paket plastik lutsinar pelbagai saiz mengandungi ketulan kristal disyaki syabu dengan nilai dianggarkan RM6,000.

Polis turut menyita beberapa barangan serta wang tunai bagi membantu siasatan.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan amphetamine.

“Suspek juga mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Sammy, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana memasukkan dadah ke dalam badan.

Polis turut meminta masyarakat menyalurkan maklumat mengenai kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah bagi membantu tindakan penguatkuasaan.

Berita Berkaitan