Tawau diisytihar kawasan bencana banjir
TAWAU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tawau mengisytiharkan daerah itu sebagai kawasan bencana banjir berkuat kuasa 8.30 pagi tadi susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi.
Pengerusinya, Mohd Shoffian Mohd Said, berkata pengisytiharan itu membolehkan semua agensi berkaitan menyelaras tindakan menghadapi kemungkinan keadaan banjir bertambah buruk.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat berikutan cuaca tidak menentu selain fenomena air pasang yang direkodkan mencecah 2.4 meter pada awal pagi.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Tawau memaklumkan pemantauan di kawasan berisiko banjir bermula seawal 3.55 pagi dengan pasukan digerakkan ke beberapa lokasi hotspot.
Setakat ini, tiada jalan terputus, tiada kampung terputus hubungan dan tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka kerana keadaan masih terkawal.


