Tersepit dalam lori simen terbalik, lelaki maut

KENINGAU:: Seorang lelaki berusia 40 tahun maut selepas lori simen yang dipandunya terbabas sebelum terbalik di bahu Jalan Kampung Bariawa Ulu, di sini, pagi tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan menerusi sistem NG999 pada 7.02 pagi sebelum 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau dikejarkan ke lokasi.

Komander Operasi, PBK I Norhasrita Abdul Manan berkata, pasukan tiba lapan minit kemudian dan mendapati sebuah lori simen terbabas sendiri sebelum terbalik di bahu jalan.

Katanya, berdasarkan maklumat orang awam, mangsa dipercayai terperangkap di dalam lori berkenaan menyebabkan operasi mengesan dan mengeluarkannya segera dilakukan.

“Lori kren tiba pada 10.34 pagi dan kerja mengangkat lori simen yang terbalik dilakukan bagi memudahkan operasi mengeluarkan mangsa.

“Mangsa berjaya dikesan pada 10.38 pagi sebelum pemeriksaan pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan lelaki itu meninggal dunia di lokasi,” katanya.

Operasi mengeluarkan mangsa selesai pada 10.58 pagi sebelum pemeriksaan akhir dilakukan bagi memastikan lokasi kejadian selamat.

Operasi membabitkan 10 anggota BBP Keningau dengan jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS).

Turut terbabit, 10 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua petugas KKM.

Berita Berkaitan