UMS lepas 2,197 benih ketam bakau
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melepaskan 2,197 benih ketam bakau (Scylla tranquebarica) di Kota Kinabalu Wetland Ramsar Site (KKWRS), sebagai usaha memulihkan populasi spesies itu dan memelihara ekosistem paya bakau.
Program berkenaan dilaksanakan Institut Marin Borneo (IMB) UMS dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Sabah dan Sabah Wetlands Conservation Society (SWCS).
Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) IMB UMS, Prof Madya Dr Juanita Joseph berkata ketam bakau mempunyai peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan rantaian makanan di ekosistem paya bakau.
Bagaimanapun, katanya, perubahan iklim, eksploitasi berlebihan dan kemerosotan habitat semula jadi semakin memberi tekanan kepada populasi spesies berkenaan.
“Ancaman perubahan iklim, eksploitasi berlebihan dan kemerosotan habitat semula jadi telah memberi tekanan yang hebat kepada populasi spesies ini.
“Oleh itu, inisiatif pelepasan benih ini bukanlah sekadar acara simbolik, tetapi merupakan satu langkah proaktif dan saintifik ke arah kelestarian sumber perikanan negeri,” katanya.
Benih ketam berkenaan dihasilkan menerusi kerjasama hatcheri IMB dan Pusat Pembenihan Ikan Marin Sabah (PPIMS), Jabatan Perikanan Negeri Sabah sebelum dilepaskan kembali ke habitat semula jadinya.
Menurut UMS, KKWRS dipilih kerana kawasan paya bakau berkenaan berfungsi sebagai habitat asuhan yang sesuai untuk anak ketam berlindung dan membesar.
Program itu turut disertai Timbalan Pengarah Perikanan (Pembangunan) Sabah, Irman Isnain dan Setiausaha Kehormat SWCS, Azalene Amelia Kamal Quadra.
UMS berkata kerjasama dengan Jabatan Perikanan Sabah serta pihak berkaitan akan diteruskan bagi memperkukuh penyelidikan dan usaha pemuliharaan sumber marin di negeri itu.

