ESSCOM bongkar aktiviti haram, tahan 25 PATI di Sandakan

KOTA KINABALU: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) menahan 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan mengesan pelbagai kesalahan bernilai RM433,077 dalam Operasi Bersepadu di Sandakan pada 29 hingga 30 Julai.

Komander ESSCOM, DCP Datuk Victor B. Sanjos berkata, operasi itu melibatkan pemeriksaan di Jalan Istana, Kampung Tabah Baru, Kampung Karamunting dan pusat bandar Sandakan.

Beliau berkata, 25 PATI terdiri daripada 21 warga Filipina dan empat warga Indonesia ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

Operasi itu turut membawa kepada rampasan rokok seludup, minyak masak bersubsidi, kabel sambungan elektrik haram, telur penyu, selain mengesan kes penyalahgunaan dadah, pelanggaran undang-undang pekerjaan, sambungan utiliti haram dan perniagaan tanpa lesen.

Victor berkata, operasi bersepadu membabitkan 263 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi itu membuktikan keberkesanan pendekatan penguatkuasaan berasaskan risikan dalam membanteras jenayah rentas sempadan serta pelbagai aktiviti ekonomi haram di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).

Berita Berkaitan