UMS perkasa pendidikan STEM melalui kolaborasi industri
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperluaskan usaha memperkasa pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi kerjasama strategik dengan industri bagi membangunkan kit modul pendidikan untuk kegunaan sekolah.
Kolaborasi itu dimeterai menerusi perjanjian bertajuk Kajian Modul Sistem Pencahayaan Lestari Berkuasa Sendiri Tanpa Bateri Dikuasakan Tenaga Haba untuk Kit Modul Pendidikan STEM Sabah antara UMS, Technology Depository Agency Berhad (TDA) dan Seni Gemilang Sdn. Bhd.
Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata, kerjasama itu membuktikan komitmen kerajaan, industri dan institusi pengajian tinggi dalam memperkukuh penyelidikan, inovasi serta pemindahan teknologi.
Beliau berkata, projek itu bertujuan membangunkan alat bantu mengajar STEM berasaskan teknologi penjanaan tenaga elektrik menggunakan tenaga haba sebagai sumber alternatif.
“Pendidikan STEM bukan sekadar melahirkan saintis atau jurutera, tetapi membentuk generasi yang berfikiran kritis, inovatif dan mampu menyelesaikan cabaran dunia sebenar,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Dekan Fakulti Kejuruteraan (FKJ), Prof Madya Ir Dr Abu Zahrim Yaser.
Menurut Kasim, kumpulan penyelidik High Voltage Power Energy Research (HIPER) FKJ bersama Sekolah Kebangsaan Melikai, Menumbok berjaya membangunkan modul STEM bertajuk Pencahayaan Berkuasa Sendiri Berasaskan Aliran Tenaga Haba.

