Friends of BHESS perkukuh sokongan MA63 di Parlimen
KOTA KINABALU: Kerajaan bakal memperkenalkan Friends of BHESS sebagai platform memperkukuh kefahaman dan sokongan Ahli Parlimen serta Senator terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, beliau akan bekerjasama dengan Kaukus Backbenchers Kerajaan Parlimen Malaysia untuk merealisasikan penubuhan inisiatif berkenaan.
Menurut beliau, langkah itu penting bagi memastikan MA63 tidak lagi dilihat sebagai isu khusus Sabah dan Sarawak semata-mata, sebaliknya sebagai sebahagian daripada naratif nasional.
Katanya, Friends of BHESS akan berperanan sebagai wadah perbincangan dan perkongsian maklumat khususnya berhubung perkara yang memerlukan sokongan di peringkat Parlimen.
“Inisiatif ini penting kerana pengukuhan hak dan kedudukan Sabah dan Sarawak bermakna memperkukuh Persekutuan Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.
Beliau berkata, penubuhan Friends of BHESS juga selari dengan persetujuan prinsip Jemaah Menteri untuk menambah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak.
Mustapha berkata, usaha itu memerlukan pindaan dan proses perundangan serta sokongan mencukupi daripada Ahli Parlimen di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Katanya, semangat pembentukan Malaysia perlu diterjemahkan melalui tindakan bagi mempertahankan kedaulatan, perpaduan dan kekuatan Persekutuan.

