Warisan terbuka kerjasama PRU16, suara Sabah tetap ‘red line’
SEMPORNA: Warisan terbuka untuk bekerjasama dengan parti lain menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), namun menegaskan suara dan kepentingan Sabah tidak boleh dikompromi dalam sebarang gabungan politik.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata parti itu memberi keutamaan kepada kerjasama dengan parti tempatan Sabah, tetapi pada masa sama tidak menolak kerjasama dengan parti di peringkat nasional.
Menurutnya, sebarang bentuk kerjasama tidak seharusnya menyebabkan hak dan kehendak rakyat Sabah menjadi semakin kabur atau diletakkan sebagai perkara kedua.
“Kita tidak mahu apabila bergabung dengan parti tertentu, suara dan keperluan rakyat Sabah, termasuk apa yang mereka mahu dan apa yang menjadi hak mereka, menjadi pudar atau sekadar ‘secondary’.
“Jadi ini penting kepada kita. Mesti ada ‘red line’ apabila kita ada gabungan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-9 Warisan Bahagian Semporna, hari ini.
Mohd Shafie berkata usaha memperkukuh suara Sabah tidak seharusnya dilihat sebagai semangat kenegerian melampau, sebaliknya sebahagian daripada usaha membina negara yang lebih kukuh.
Katanya, Warisan juga tidak menutup ruang kerjasama di peringkat nasional, walaupun parti itu kekal sebagai pembangkang di Sabah.
“Kita beri keutamaan kepada parti tempatan. Di peringkat nasional, kita boleh bekerjasama. Sekarang pun kita bekerjasama.
“Tetapi di Sabah kita jadi pembangkang kerana kita tidak mahu suara rakyat Sabah hilang,” katanya.
Mengulas sasaran kerusi Warisan pada PRU16, Mohd Shafie berkata keputusan akhirnya terletak di tangan rakyat dan pengundi.
Beliau berkata Warisan mahu terus menjadi platform yang mampu menterjemahkan aspirasi serta memperjuangkan hak rakyat Sabah.

