Garrido puas hati perubahan taktikal Sabah membuahkan hasil
KOTA KINABALU: Ketua Jurulatih Sabah FC, Juan Torres Garrido berpuas hati dengan perubahan taktikal yang dilakukan pada babak kedua sehingga membantu pasukannya menewaskan Star City FC 3-1 dalam aksi pembukaan Liga Super.
Garrido berkata pasukannya berjaya mengurangkan ancaman lawan menerusi situasi bola mati sebelum menguasai permainan dengan lebih baik selepas rehat.
“Kami gembira kerana berjaya mencapai sasaran untuk meraih tiga mata dan mempamerkan aksi terbaik di laman sendiri.
“Kami berharap kemenangan ini dapat menarik lebih ramai penyokong ke Stadium Likas bagi perlawanan akan datang,” katanya selepas aksi di Stadium Likas, malam tadi.
Beliau turut memuji pemain baharu Sabah FC yang menunjukkan kemampuan menyesuaikan diri dengan pantas selepas Star City berjaya mendapatkan gol penyamaan.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Star City FC, Mehmet Durakovic mengakui kehilangan fokus pada 10 minit terakhir menjadi punca pasukannya gagal memperoleh keputusan positif.
Menurutnya, pemain perlu belajar mengekalkan tahap konsentrasi sepanjang 90 minit.
Bagaimanapun, beliau memuji barisan mudanya yang mampu memberikan tentangan kepada Sabah FC serta berkata proses membentuk keserasian antara pemain baharu memerlukan masa.
Sabah FC kini berada di tangga keempat liga, manakala Star City FC menghuni kedudukan kesembilan.

