Wanita maut selepas Alza bertembung lori muatan pasir

KOTA BELUD: Seorang wanita berusia 42 tahun maut dalam kemalangan membabitkan sebuah Perodua Alza dan lori 10 tan membawa muatan pasir di Jalan Taman Nikmat, Kota Belud, hari ini.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.05 pagi sebelum tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud dikerahkan ke lokasi.

Komander Operasi, PBK II Jasree Mar berkata, empat individu berada di dalam Perodua Alza dan pasukan bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Seorang wanita disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Seorang lelaki berusia 18 tahun pula mengalami kecederaan parah, manakala remaja perempuan berusia 15 tahun cedera ringan.

Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Kota Belud untuk rawatan lanjut.

Seorang lagi lelaki berusia 17 tahun terselamat tanpa kecederaan dan dibawa pulang oleh ahli keluarganya.

Pemandu lori tidak berada di lokasi kejadian dan maklumat lanjut mengenainya tidak diperoleh ketika operasi dijalankan.

Operasi ditamatkan pada jam 12.18 tengah hari selepas kawasan kejadian disahkan selamat.

Berita Berkaitan