Hajiji hadir Kongres PKR, Mustapha sifatkan tanda kerjasama GRS-Kerajaan Perpaduan
KOTA KINABALU: Kehadiran Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bersama beberapa pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ke Kongres Nasional KEADILAN 2026 di Melaka disifatkan sebagai isyarat bahawa hubungan politik antara kepimpinan negeri dan Kerajaan Persekutuan terus diperkukuh.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata kehadiran Hajiji yang juga Pengerusi GRS sebagai jemputan khas mencerminkan semangat kerjasama yang terus dipupuk demi kepentingan Sabah.
Menurutnya, kerjasama itu tidak seharusnya dilihat semata-mata dari sudut politik, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada pembangunan, peluang ekonomi, kemudahan asas dan penyelesaian isu rakyat.
Mustapha berkata KEADILAN yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai tanggungjawab memastikan pembangunan negara dilaksanakan secara inklusif dan mengambil kira keperluan Sabah.
Pada masa sama, katanya, KEADILAN Sabah akan terus memperjuangkan hak negeri termasuk pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam kerangka Persekutuan yang adil.
Beliau turut berkata suara Sabah dan Sarawak mengenai kuota bahan api dibawa dalam kongres itu, termasuk cadangan menaikkan kuota diesel kepada 500 liter dan mengembalikan kuota petrol BUDI MADANI kepada 300 liter.
Menurutnya, wakil pembahas Sabah Junaidah Makku turut mencadangkan pengeluaran dihadkan kepada 125 liter seminggu bagi mengurangkan ketirisan.
Mustapha berkata kehadiran beberapa pemimpin GRS membuktikan perbezaan parti tidak seharusnya menghalang kerjasama apabila melibatkan kepentingan negeri dan rakyat Sabah.

