Agong titah terus bongkar penyelewengan, Felda selepas Tabung Haji – Anwar
MELAKA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha kerajaan membongkar penyelewengan membabitkan institusi awam akan diteruskan, dengan Felda menjadi antara institusi yang akan diberikan perhatian selepas Lembaga Tabung Haji (TH).
Anwar berkata langkah itu selaras dengan pesanan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim kepadanya minggu lalu supaya usaha membanteras penyelewengan tidak berakhir dengan Tabung Haji.
“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong minggu lalu berpesan, Perdana Menteri jangan berakhir dengan Tabung Haji saja, teruskan.
“Tuan Yang di-Pertuan Agong tanya saya, siapa jaga Felda sekarang? Saya kata saya. Baik, maka selesai. Selesai Tabung Haji bongkar Felda,” katanya ketika berucap pada Kongres Nasional PKR 2026.
Anwar bagaimanapun menegaskan langkah itu bukan bertujuan menghukum mana-mana individu tanpa bukti, sebaliknya memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara profesional.
Mengenai Tabung Haji, beliau berkata Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan institusi itu telah diluluskan dan laporannya disiapkan sebelum beliau menjadi Perdana Menteri.
Menurutnya, pendedahan laporan berkenaan sebelum ini ditangguhkan atas permintaan Tabung Haji kerana kebimbangan terhadap risiko kepada institusi tersebut selain memerlukan masa untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai kepincangan yang berlaku.
Anwar berkata laporan itu akhirnya didedahkan bagi membolehkan rakyat mengetahui perkara berkaitan kehilangan dana pendeposit yang disifatkannya sebagai luar biasa.

