Hajiji: Hari Kebangsaan, Hari Sabah titik penyatuan rakyat
KOTA KINABALU: Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah yang diraikan bersama pada 31 Ogos mampu menjadi titik penyatuan rakyat Sabah yang berbilang kaum dan agama, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Beliau berkata kedua-dua sambutan itu perlu dihayati secara mendalam bagi menyemai semangat patriotisme serta menghargai pengorbanan pejuang terdahulu.
“Perpaduan kaum adalah kunci kekuatan kita yang perlu terus dipertahankan terutama dalam era kemodenan masa kini,” katanya dalam perutusan sempena Hari Kebangsaan dan Hari Sabah.
Hajiji turut menyeru generasi muda supaya terus memupuk semangat patriotik, mengekalkan perpaduan dan menjaga keharmonian negeri.
Katanya, tema Hari Kebangsaan 2026, “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, mencerminkan komitmen kerajaan membina negara maju, inklusif dan harmoni, manakala tema Hari Sabah “Sabah Tanah Airku” mencerminkan rasa cinta, bangga dan kesetiaan rakyat kepada negeri ini.
Beliau turut menyeru rakyat mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah di rumah, pejabat, kenderaan serta premis perniagaan.
Dalam perkembangan lain, Hajiji berkata projek Lebuhraya Pan Borneo laluan Serusup-Pinturu sepanjang 20.8 kilometer bernilai RM465 juta berjalan lancar dan dijangka siap pada Julai 2028.
Jambatan sepanjang 682 meter yang merentasi Sungai Sulaman pula dijangka siap pada Disember tahun depan.

