Hak 40 peratus Sabah tidak pernah jadi bahan tawar-menawar politik
KOTA KINABALU: Hak Sabah terhadap Pemberian Khas 40 peratus tidak pernah dijadikan bahan tawar-menawar politik atau disyaratkan kepada sokongan terhadap mana-mana kerajaan.
Setiausaha Akhbar kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Ahmad Farid Sainuri berkata, kenyataan Datuk Mustapha Sakmud mengenai pembayaran interim RM1.5 bilion kepada Sabah telah dipetik di luar konteks sehingga menimbulkan persepsi bahawa hak perlembagaan negeri itu dikaitkan dengan sokongan politik.
Menurutnya, penegasan Mustapha sebenarnya merujuk kepada peningkatan bayaran interim kepada Sabah serta usaha menyelesaikan perkara berkaitan hak dan kepentingan negeri.
Katanya, Pemberian Khas Interim RM1.5 bilion bukan pengganti kepada penyelesaian tuntutan 40 peratus, sebaliknya merupakan langkah sementara ketika rundingan bagi menentukan formula dan nilai sebenar pemberian khas itu diteruskan. Perkara itu selari dengan kenyataan kerajaan sebelum ini bahawa pembayaran RM1.5 bilion adalah langkah interim dan rundingan masih berjalan.
“Hak Sabah kekal sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk perkara berkaitan Pemberian Khas 40% Sabah,” katanya.
Farid berkata proses memuktamadkan formula, nilai sebenar dan mekanisme pelaksanaan sedang dilaksanakan antara kerajaan Sabah dan kerajaan Persekutuan.
Katanya, keutamaan Mustapha adalah memastikan semua perkara berkaitan hak Sabah dan Sarawak dalam MA63 diselesaikan secara berkesan mengikut lunas Perlembagaan tanpa menjejaskan perpaduan negara.

