Stor isirung sawit tanpa lesen diserbu, rampasan RM709,000

LAHAD DATU: Kegiatan penyimpanan kira-kira 52 metrik tan isirung kelapa sawit tanpa lesen sah terbongkar selepas sebuah premis tidak bernombor di Jalan POIC, di sini, diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah.

Dalam serbuan pada 28 September itu, dua lelaki berusia 54 dan 35 tahun ditahan, manakala beberapa individu lain dilaporkan melarikan diri ke kawasan semak.

Menurut PPM, serbuan dilakukan Unit Risik Marin selepas risikan dan pemantauan mengesan aktiviti pemindahan isirung kelapa sawit daripada sebuah lori treler ke premis berkenaan.

Pemeriksaan menemukan kira-kira 52 metrik tan isirung kelapa sawit selain sebuah lori treler Nissan Diesel, dua jentera Caterpillar serta alat sukat bersama kelengkapannya.

Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM709,000.

Kes disiasat mengikut Peraturan 5(1)(d), Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia 2005 di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582), manakala barang rampasan akan diserahkan kepada MPOB Cawangan Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

PPM berkata, sepanjang 2026 pihaknya merekodkan 14 kes di bawah akta berkenaan membabitkan 27 tangkapan dengan nilai rampasan keseluruhan lebih RM9.35 juta.

Berita Berkaitan