Hampir 300 usahawan, ahli koperasi Melaka perkukuh jaringan perniagaan

MELAKA: Kerjasama strategik antara kerajaan negeri, agensi kerajaan dan pemain industri perlu terus diperkukuh bagi merancakkan pertumbuhan sektor keusahawanan serta gerakan koperasi di Melaka.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, sokongan berterusan kerajaan negeri amat penting dalam mewujudkan ekosistem perniagaan yang kondusif, sekali gus membantu usahawan dan koperasi meningkatkan daya saing.

Menurutnya, kerjasama itu turut membuka ruang kepada pembangunan jaringan perniagaan lebih luas, selain memperkukuh peranan koperasi sebagai antara pemacu pertumbuhan ekonomi setempat.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi Meet & Greet bersama hampir 300 usahawan dan anggota koperasi sekitar Telok Mas dan Duyong, di sini.

“Kolaborasi, kerjasama dan sokongan daripada Kerajaan Negeri Melaka amat penting untuk memajukan dunia keusahawanan dan gerakan koperasi di negeri ini,” katanya menerusi hantaran media sosial.

Mohamad berkata, rata-rata usahawan dan anggota koperasi yang ditemuinya memberikan maklum balas positif terhadap pelbagai inisiatif diperkenalkan kerajaan negeri bagi memperkukuh pembangunan sektor berkenaan.

Katanya, komitmen Ketua Menteri Melaka yang turut memberikan penekanan kepada agenda keusahawanan dan gerakan koperasi bagi tahun-tahun mendatang dilihat mampu menyokong perkembangan ekonomi negeri.

Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan kerjasama bersepadu antara kerajaan negeri dan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi memastikan inisiatif pembangunan usahawan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Program berkenaan turut menjadi platform mempererat hubungan antara kepimpinan kementerian, agensi berkaitan dan komuniti perniagaan tempatan, di samping membuka ruang pertukaran pandangan mengenai keperluan sektor keusahawanan serta koperasi.

Turut hadir Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah.

Mohamad turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi di bawah KUSKOP yang bekerjasama menjayakan program berkenaan.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan