Madius gesa percepat fakulti undang-undang UMS, tambah tempat pelajar perubatan

KOTA KINABALU: Kerajaan digesa mempercepatkan penubuhan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan menambah pengambilan pelajar perubatan dalam kalangan anak Sabah bagi menangani kekurangan tenaga profesional di negeri itu.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, Sabah memerlukan lebih ramai graduan tempatan dalam bidang undang-undang dan perubatan bagi memenuhi keperluan pembangunan serta perkhidmatan kepada rakyat.

“Sabah memerlukan anak-anak terdidik yang boleh membina masa depan keluarga dan menyumbang kepada negeri. Bantulah mereka masuk universiti, sediakan pendidikan berkualiti dan buka jalan untuk mereka berkhidmat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pendidikan Tinggi di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, pada Rabu.

Madius berkata, walaupun kelulusan penubuhan Fakulti Undang-Undang UMS diumumkan pada November 2025 dan kajian pasaran dilaksanakan pada Jun 2026, status sebenar pelaksanaannya masih memerlukan penjelasan.

Sehubungan itu, beliau meminta kementerian menyatakan peruntukan persediaan, perkembangan terkini serta sasaran pengambilan kumpulan pertama pelajar fakulti berkenaan.

Katanya, fakulti itu perlu memberi tumpuan kepada bidang Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), undang-undang tanah Sabah dan undang-undang adat yang mempunyai kepentingan khusus kepada negeri.

Beliau turut mencadangkan kerjasama antara UMS dengan Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri bagi meningkatkan kepakaran pegawai kehakiman adat serta kefahaman masyarakat mengenai hak anak negeri.

Tambah peluang anak Sabah jadi doktor

Dalam bidang perubatan, Madius menggesa kementerian menambah tempat pengajian di UMS khusus untuk anak Sabah yang memenuhi syarat kelayakan.

Menurutnya, langkah itu penting bagi membantu menangani kekurangan doktor, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman negeri.

“Saya meminta kementerian menyatakan jumlah dan peratus pelajar anak Sabah yang sedang mengikuti program perubatan UMS, selain sasaran pertambahan tempat dan sesi pengambilan yang dirancang,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan penambahan pengambilan mesti disertai penyediaan pensyarah, penyelia klinikal serta kemudahan latihan mencukupi supaya kualiti pendidikan tidak terjejas.

Presiden Kehormat UPKO itu turut mencadangkan biasiswa bersasar kepada pelajar Sabah daripada keluarga berpendapatan rendah dan kawasan pedalaman.

Katanya, Kementerian Pendidikan Tinggi perlu bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan Kerajaan Sabah bagi menyediakan laluan latihan serta penempatan graduan di negeri itu, termasuk mempertimbangkan ikatan perkhidmatan kepada penerima biasiswa.

RM150.6 juta untuk pembangunan UMS

Dalam perkembangan berkaitan, Madius turut meminta kerajaan memperincikan projek dan jadual pelaksanaan peruntukan pembangunan UMS berjumlah kira-kira RM150.6 juta bagi 2027.

Beliau mahu penyelesaian masalah bekalan air kampus dan penyediaan penginapan pelajar diberi keutamaan, khususnya kepada golongan kurang berkemampuan serta mereka yang berasal dari pedalaman.

“Saranan saya agar kementerian memberi perhatian terhadap penyelesaian masalah bekalan air serta penyediaan kemudahan penginapan yang mengutamakan pelajar miskin dan dari kawasan pedalaman supaya keluarga tidak terbeban dengan kos tambahan,” katanya.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan