Hampir RM1 bilion perkasa pertanian, industri dan pelancongan Sabah

KENINGAU: Kerajaan Sabah memperuntukkan hampir RM1 bilion tahun ini bagi pembangunan tiga sektor utama iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan yang terus menjadi antara pemacu pertumbuhan ekonomi negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata setiap pegawai daerah perlu mengenal pasti kekuatan ekonomi kawasan masing-masing dan menterjemahkannya kepada peluang pelaburan, pekerjaan serta peningkatan pendapatan rakyat.

“Ada daerah yang mempunyai kekuatan dalam pertanian. Ada yang mempunyai potensi pelancongan. Ada yang mempunyai sumber marin. Ada juga yang mempunyai potensi dalam industri dan perdagangan.

“Tugas kita ialah memastikan potensi tersebut dapat diterjemahkan kepada peluang pelaburan, pekerjaan dan peningkatan pendapatan rakyat,” katanya ketika merasmikan Persidangan Pegawai Daerah Negeri Sabah Ke-29, hari ini.

Hajiji turut melihat Ekonomi Biru sebagai sektor berpotensi besar khususnya di luar bandar dengan Sabah memiliki sumber marin, biodiversiti dan kawasan pesisir yang luas.

Menurutnya, kerajaan negeri tahun ini mempunyai siling peruntukan pembangunan RM12.02 bilion melibatkan 1,173 program dan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, yang disifatkan tertinggi dalam sejarah Belanjawan Sabah.

Daripada jumlah itu, 241 adalah projek sambungan manakala 932 lagi merupakan projek baharu.

Justeru, Hajiji mahu pegawai daerah memantau pelaksanaan setiap projek secara berterusan serta mengenal pasti dengan segera punca sebarang masalah atau kelewatan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

Berita Berkaitan