Mustapha cadang jawatankuasa khas tangani hotspot banjir di Sepanggar
KOTA KINABALU â Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud mencadangkan satu jawatankuasa khas diwujudkan bagi menangani masalah banjir kilat khususnya di kawasan hotspot sekitar Parlimen Sepanggar.
Beliau berkata, cadangan itu akan dikemukakan kepada Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu selepas pemantauan awal mendapati aspek penyelenggaraan termasuk sistem perparitan perlu diberi perhatian secara berkala.
Menurutnya, beberapa kejadian banjir turut membabitkan kawasan berhampiran projek pembinaan jalan dan infrastruktur lain.
âSemua agensi kena peka supaya penyelenggaraan dibuat secara berkala.
âSaya akan cadangkan kepada Datuk Bandar supaya ada jawatankuasa khas diwujudkan, terutama bagaimana kita menyelenggara parit-parit di kawasan yang dikenal pasti sebagai hotspot banjir,â katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media ketika meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Pekan Menggatal pada Sabtu.
Mustapha berkata, kejadian banjir kilat sejak kebelakangan ini melibatkan beberapa kawasan dalam Parlimen Sepanggar termasuk Karambunai, Inanam dan Darau.
Katanya, hujan pada minggu lalu lebih tertumpu di Karambunai sehingga menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir kilat, manakala kejadian terbaru turut menjejaskan Inanam dan Darau.
âKita harap dengan usaha ini, kita dapat meminimumkan banjir kilat dan juga tanah runtuh di kawasan-kawasan hotspot,â katanya.
Dalam perkembangan sama, Mustapha berkata, proses pendaftaran mangsa banjir di Parlimen Sepanggar masih berlangsung dan dilanjutkan sehingga jam 4 petang Ahad.
Menurutnya, pengesahan perlu dilakukan terlebih dahulu bagi memastikan bantuan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri disalurkan kepada mangsa yang benar-benar terjejas.
âLaporan mesti disertakan dengan laporan polis dan juga disahkan oleh ketua kampung ataupun pengerusi JKK.
âKita mahu data yang kita ada ini tepat dan sumbangan disampaikan kepada mangsa banjir yang memang terkesan,â katanya.
Beliau berkata, proses pengesahan turut melibatkan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), ketua kampung, pengerusi JKK, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta agensi berkaitan.
Katanya, tumpuan diberikan terutama kepada mangsa yang kediaman mereka dimasuki air sehingga menyebabkan kerosakan harta benda.
Jumlah keseluruhan mangsa pula belum dimuktamadkan berikutan proses pendaftaran dan pengesahan masih berjalan.

