Hasrat cerai dipercayai cetus ugutan parang terhadap isteri
TAWAU: Seorang lelaki berusia 40-an ditahan selepas disyaki mengugut isterinya dengan parang di kawasan Check Point, Kilometer 52, Tawau, Jumaat lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Supt Wilynton Enchana Watt berkata, suspek ditahan sekitar awal jam 2 pagi semalam selepas berjaya dikesan di sekitar Bandar Tawau.
Mangsa, seorang wanita warga asing berusia 30-an, ketika itu sedang dalam perjalanan bersama suspek dari Tawau ke Semporna.
Menurut polis, suspek memberhentikan Perodua Axia dinaiki mereka sebelum keluar dari kenderaan dan mengambil sebilah parang pendek dari bahagian belakang.
“Suspek kemudian mengacukan parang ke arah mangsa sambil mengeluarkan kata-kata ugutan.
“Kedua-duanya kemudian bergelut bagi merampas parang tersebut,” katanya.
Mangsa kemudiannya membuat laporan polis.
Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada hasrat mangsa untuk bercerai dengan suspek.
Polis turut merampas kenderaan terbabit bersama anak kunci.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

