PKMB gesa PBT tangani isu anjing berkeliaran di Pekan Keningau

KENINGAU : Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor (PKMB) menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan terhadap masalah anjing berkeliaran bebas di sekitar Pekan Keningau, termasuk yang memasuki restoran dan kedai makan.

Pengerusinya, Yazid Mohd Hasnan Tawik @ Charles berkata, masalah itu bukan baharu dan telah berlarutan sehingga menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan pengusaha serta pelanggan premis makanan.

Menurutnya, ada pengusaha yang terpaksa menghalau anjing dari premis masing-masing, namun tindakan itu hanya sementara kerana haiwan tersebut kembali semula.

Yazid berkata, isu itu turut menimbulkan kebimbangan berkaitan kebersihan premis makanan, keselamatan kanak-kanak dan orang awam serta risiko sekiranya terdapat anjing agresif atau tidak diketahui pemiliknya.

“Kita memahami bahawa haiwan juga mempunyai hak untuk dilindungi, namun pada masa sama aspek keselamatan, kebersihan dan keselesaan orang awam tidak boleh dipandang ringan,” katanya.

PKMB berharap PBT, Ahli Majlis Daerah Keningau dan agensi berkaitan dapat menilai keadaan di lapangan serta mengambil tindakan mengikut undang-undang dan peraturan sedia ada.

Antara langkah yang dicadangkan termasuk mengenal pasti pemilik anjing, menjalankan operasi pengurusan anjing berkeliaran secara berkala dan mewujudkan saluran aduan yang lebih berkesan.

Yazid turut menyeru pemilik haiwan supaya bertanggungjawab memastikan anjing mereka tidak dibiarkan berkeliaran di kawasan tumpuan awam dan premis makanan.

Berita Berkaitan