Imigresen Sabah tahan 32 warga asing dalam Ops Wilayah di Tawau, Semporna
TAWAU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menahan 32 warga asing dalam operasi penguatkuasaan bersepadu menerusi Ops Wilayah yang dilaksanakan di sekitar Tawau dan Semporna pada 8 hingga 9 November lalu.
Operasi yang diketuai sendiri Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof itu membabitkan 102 pegawai, masing-masing 60 anggota di Tawau dan 42 di Semporna.
Menurut JIM Sabah, seramai 324 individu diperiksa sepanjang operasi berkenaan yang merangkumi Ops Jaja, Belanja, Kutip, Sapu dan Mahir.
“Di Tawau, sebanyak enam premis diperiksa membabitkan 218 individu terdiri daripada 159 warga tempatan, 42 warga Indonesia dan 17 warga Filipina.
“Manakala di Semporna, seramai 106 individu diperiksa dalam operasi yang dijalankan pada 9 November,” menurut kenyataan jabatan itu.
Hasil pemeriksaan menyaksikan 24 warga asing ditahan di Tawau, terdiri daripada 14 warga Indonesia dan 10 warga Filipina, manakala lapan lagi ditahan di Semporna.
Daripada jumlah tangkapan di Semporna, tujuh lelaki warga Republik Rakyat China (PRC) ditahan menerusi Ops Mahir di sekitar sebuah resort kerana disyaki menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial untuk bekerja.
Seorang lagi warga Filipina ditahan dalam pemeriksaan di kawasan pasar.
JIM Sabah memaklumkan, pemeriksaan Bahagian Inspektorat di premis resort terbabit melibatkan 14 individu, iaitu sembilan warga China dan lima warga tempatan.
Siasatan lanjut turut mendapati premis berkenaan tidak mempunyai permohonan penggajian ekspatriat, selain beroperasi di atas tanah seluas 4.4 ekar yang disewa.
Premis itu juga didapati tidak mempunyai lesen daripada Majlis Daerah Semporna serta lesen pengendalian pelancongan.
Sementara itu, pemeriksaan berasingan di Batu 1½, Bubul mendapati sebuah syarikat pembinaan mempunyai enam pekerja ekspatriat dengan dokumen lanjutan yang sah bagi projek komersial Lot Fasa 2 dan mematuhi syarat ditetapkan.
Kesemua 32 warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Tawau untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63.
JIM Sabah turut mengingatkan majikan supaya mematuhi prosedur pengambilan pekerja asing serta memastikan setiap pekerja memiliki dokumen dan kelulusan sah.
Jabatan itu menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan di lokasi strategik seluruh Sabah bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI).
Orang ramai juga diingatkan supaya tidak melindungi PATI dan diminta menyalurkan maklumat berkaitan kepada pihak berkuasa melalui saluran aduan rasmi.

