Isteri orang ditahan disyaki berkhalwat dalam kenderaan
KUNAK: Seorang wanita berstatus isteri orang ditahan bersama seorang lelaki selepas disyaki berkhalwat di dalam sebuah kenderaan menerusi Operasi Cegah Maksiat di sini pada Khamis.
Pasangan terbabit ditahan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Kunak ketika operasi berkenaan dijalankan.
Menurut JHEAINS Kunak, pemeriksaan mendapati lelaki dan wanita terbabit berada bersama di dalam sebuah kenderaan dalam keadaan yang disyaki membawa kepada kesalahan khalwat.
“Hasil pemeriksaan mendapati wanita terbabit berstatus isteri orang,” menurut kenyataan itu.
Kedua-duanya kemudian dibawa ke pejabat JHEAINS Kunak bagi tindakan dan siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang syariah yang berkuat kuasa.
Dalam pada itu, JHEAINS mengingatkan masyarakat supaya sentiasa menjaga batas pergaulan serta mengelakkan perbuatan yang boleh menimbulkan fitnah dan menjejaskan institusi kekeluargaan.
JHEAINS turut menyeru masyarakat bersama-sama memelihara keharmonian keluarga dan kesejahteraan komuniti dengan menghindari sebarang perlakuan yang bercanggah dengan syariat.

