Jamawi mahu Kebun Sekolah lahir generasi celik keterjaminan makanan
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah bercadang memperluaskan pelaksanaan program Kebun Sekolah mulai tahun depan sebagai langkah memperkukuh keterjaminan makanan, meningkatkan literasi pertanian serta mewujudkan sumber ekonomi tambahan kepada sekolah.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, inisiatif itu akan dilaksanakan menerusi kerjasama strategik dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) bagi membudayakan pertanian dalam kalangan pelajar sejak di bangku sekolah.

Menurutnya, program itu bukan sekadar mendidik pelajar mengenai keselamatan makanan dan amalan pertanian moden, malah berpotensi menjadikan sekolah sebagai pusat pengeluaran hasil pertanian berskala kecil yang mampu menjana pendapatan.
“Kita mahu sekolah menjadi tempat melahirkan generasi yang memahami kepentingan keterjaminan makanan serta mempunyai kemahiran asas dalam bidang pertanian.
“Jika diurus dengan baik, hasil tanaman juga boleh menjadi sumber pendapatan tambahan kepada sekolah,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Negeri Sabah dan Persatuan Pengetua Wilayah Persekutuan Labuan di Hotel Klagan @ One Borneo.
Beliau berkata, kementeriannya bersedia menyediakan khidmat nasihat, bantuan teknikal serta kepakaran melalui Jabatan Pertanian, Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan Korporasi Pembangunan Desa (KPD).
Jamawi berkata, pengalaman enam sekolah angkat di Tenom membuktikan tanaman seperti avokado dan durian mampu memberi pulangan ekonomi kepada sekolah.
Katanya, Sekolah Menengah Chung Hwa Tenom kini memiliki kira-kira 800 pokok avokado yang sudah mula mengeluarkan hasil dengan anggaran pendapatan sekitar RM300 bagi setiap pokok pada peringkat awal.
Beliau berkata, pelaksanaan program itu akan diselaraskan bersama JPNS melalui satu pekeliling bagi memastikan semua sekolah melaksanakan inisiatif tersebut secara sistematik.

