Jangan hanya salahkan Warisan, Lim Guan Eng umum penamatan PDP Pan Borneo – Darell
SANDAKAN: Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Darell Leiking mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang terus menyalahkan parti itu berhubung isu projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, sedangkan keputusan menamatkan model Rakan Pelaksana Projek (Project Delivery Partner – PDP) diumumkan oleh bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Beliau berkata, keputusan berkenaan bukan dibuat secara bersendirian oleh kerajaan negeri pimpinan Warisan, sebaliknya melibatkan keputusan pentadbiran Kerajaan Persekutuan ketika itu.
“Kenapa hanya Warisan yang dipersalahkan, sedangkan keputusan itu diumumkan oleh Lim Guan Eng?” soalnya ketika berucap pada perasmian Persidangan Agung Tahunan dan Pemilihan Wanita, Wira dan Wirawati Warisan 2026 di Dewan Yu Yang, di sini, pada Sabtu.
Menurut Darell, beliau sendiri merupakan anggota Kabinet Persekutuan ketika keputusan berkenaan dibuat, bersama dua lagi wakil Sabah, Datuk VK Liew dan Datuk Mohamaddin Ketapi.
Katanya, keputusan menamatkan model PDP diterima secara bersama pada peringkat Kabinet Persekutuan selepas mengambil kira pelbagai isu berkaitan pelaksanaan projek berkenaan.
Darell turut mempersoalkan tindakan segelintir pemimpin politik, termasuk pihak yang pernah bersama Pakatan Harapan (PH) tetapi kini bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang didakwanya terus menuding jari kepada Warisan.
Beliau berkata, beberapa pemimpin yang kini berada dalam gabungan politik berbeza turut memegang jawatan penting ketika keputusan itu dibuat.
Antara yang disebutnya ialah Datuk Seri Madius Tangau, Datuk Christina Liew, Datuk Ewon Benedick dan Datuk Ginger Phoong.
“Semua rakan-rakan mereka menuding jari kepada Warisan, tetapi tidak kepada pihak lain yang turut berada dalam pentadbiran ketika itu,” katanya.
Darell mendakwa, keputusan menamatkan model PDP dibuat selepas kerajaan ketika itu mengenal pasti beberapa masalah yang boleh menjejaskan pelaksanaan projek Pan Borneo Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, Lim Guan Eng ketika menjawat jawatan Menteri Kewangan turut membangkitkan kebimbangan mengenai masalah berterusan sekiranya model berkenaan dikekalkan.
Beliau turut merujuk Laporan Ketua Audit Negara yang menurutnya mengandungi penemuan berkaitan kelemahan pelaksanaan projek.
Selain itu, Darell mendakwa persaingan mendapatkan projek dalam kalangan kontraktor turut menjadi antara isu yang pernah dibangkitkan menerusi jawapan lisan di Parlimen.
Katanya, perkara berkenaan juga pernah disentuh oleh Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis.
Darell berkata, isu pelaksanaan Pan Borneo turut mendapat liputan media sebelum ini, namun Warisan masih dijadikan sasaran utama apabila timbul persoalan mengenai kelewatan projek berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak supaya meneliti fakta, rekod keputusan kerajaan dan laporan rasmi sebelum meletakkan kesalahan kepada mana-mana parti politik.

