Ugut bunuh abang guna parang, lelaki ditahan
TAWAU: Gara-gara mengamuk sebelum mengacukan parang dan mengugut untuk membunuh abang kandungnya, seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan polis di Kampung Rancangan Kalabakan, di sini, Rabu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa berada di rumah bersama isteri serta kedua-dua ibu bapanya sebelum suspek yang juga adik kandungnya tiba-tiba mengamuk.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, suspek didakwa mengacukan sebilah parang ke arah abangnya sambil mengajak mangsa bergaduh.
“Suspek turut mengugut untuk membunuh mangsa, namun pengadu memaklumkan tidak mengetahui punca adiknya bertindak sedemikian,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, susulan laporan polis yang dibuat mangsa, sepasukan anggota Balai Polis Kalabakan digerakkan bagi mengesan suspek.
“Suspek berjaya ditahan kira-kira jam 9.45 malam pada hari sama di luar sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Rancangan Kalabakan.
“Polis turut merampas sebilah parang bersarung yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu bagi membantu siasatan,” katanya.
Rosdi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
Beliau menegaskan, polis memandang serius sebarang bentuk ugutan, terutama yang membabitkan penggunaan senjata.
“Orang ramai dinasihatkan supaya menyelesaikan perselisihan faham secara aman dan segera mendapatkan bantuan pihak berkuasa sekiranya berdepan ancaman keselamatan,” katanya.
— SABAH NEWS TODAY

