Warisan perlu cermin diri sebelum kritik SMJ 2.0 – Aksyah

KINABATANGAN: Parti Warisan diingatkan supaya menilai rekod pentadbirannya sendiri sebelum mempertikaikan hala tuju pelaksanaan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang diperkenalkan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Ketua Penerangan (Penaja) Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Kinabatangan, Aksyah Haji Nasrah berkata, kritikan terhadap pelan pembangunan negeri itu perlu dibuat secara rasional dengan mengambil kira tempoh perancangan dan pelaksanaan projek infrastruktur.

Menurutnya, kerajaan negeri sedang berusaha menangani pelbagai masalah asas termasuk bekalan air, jalan raya dan elektrik yang memerlukan penyelesaian secara berperingkat.

“Namanya pun pelan perancangan. Kita merancang secara teliti, kemudian kita laksana. Mana ada projek mega atau infrastruktur asas siap dalam satu malam,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook, yang mempersoalkan hala tuju SMJ 2.0 selepas dibentangkan Hajiji pada Konvensyen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Kudat, Ahad lalu.

Aksyah berkata, Warisan tidak seharusnya menjadikan tempoh pelaksanaan projek pembangunan sebagai bahan kritikan politik tanpa mengambil kira cabaran sebenar yang dihadapi kerajaan negeri.

Malah, beliau mendakwa Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, sendiri pernah menyatakan keperluan tempoh tiga tahun untuk menyelesaikan masalah infrastruktur ketika kempen Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Beliau turut membangkitkan keputusan pentadbiran terdahulu membatalkan sistem Rakan Pelaksana Projek (Project Delivery Partner atau PDP) bagi Lebuhraya Pan Borneo serta menamatkan konsesi air.

Menurutnya, keputusan berkenaan didakwa menyumbang kepada cabaran infrastruktur yang kini perlu ditangani kerajaan negeri.

Hasil Sabah hampir RM7 bilion

Dalam pada itu, Aksyah berkata, pentadbiran Hajiji berjaya meningkatkan hasil negeri sehingga menghampiri RM7 bilion, manakala rizab kewangan Sabah mencecah RM8.6 bilion.

Katanya, kedudukan kewangan itu membuktikan kerajaan negeri mempunyai asas yang kukuh untuk meneruskan agenda pembangunan serta memperluas bantuan kepada rakyat.

Beliau turut membandingkan prestasi tersebut dengan pentadbiran Warisan Plus pimpinan Shafie yang menurutnya menyaksikan pertumbuhan ekonomi Sabah merosot ke paras negatif.

Aksyah menegaskan, pencapaian kerajaan negeri tidak seharusnya dinilai berdasarkan retorik politik semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira usaha meningkatkan hasil dan mengurus kewangan negeri.

Perjuangan MA63 diteruskan

Mengulas isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Aksyah berkata, perjuangan mendapatkan hak Sabah bukan hak eksklusif mana-mana parti politik.

Menurutnya, kerajaan negeri pimpinan Hajiji turut memainkan peranan penting melalui rundingan rasmi dengan Kerajaan Persekutuan.

Beliau mendakwa sebanyak 13 tuntutan berkaitan MA63 berjaya diselesaikan di bawah pentadbiran semasa, termasuk penyerahan kuasa kawal selia elektrik dan kuasa teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR).

Mengenai tuntutan pemberian khas 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari Sabah, beliau berkata, rundingan masih diteruskan bagi memuktamadkan formula pembayaran.

Katanya, pemberian interim kepada Sabah kini meningkat kepada RM1.5 bilion sementara penyelesaian akhir dirundingkan.

SMJ Energy buka peluang ekonomi

Aksyah berkata, penubuhan SMJ Energy Bhd turut membuktikan komitmen kerajaan negeri memperluas penyertaan Sabah dalam industri minyak dan gas.

Menurutnya, penyertaan menerusi pegangan ekuiti serta kontrak perkongsian pengeluaran (Production Sharing Contract atau PSC) membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat Sabah.

Beliau berkata, pulangan dividen daripada penyertaan tersebut juga dapat dimanfaatkan bagi membiayai program pembangunan, kebajikan dan pendidikan.

Dalam sektor pendidikan, katanya, peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) meningkat daripada RM55 juta pada 2021 kepada RM155 juta tahun ini.

Selain itu, hampir 480,000 pelajar Sabah menurutnya mendapat manfaat menerusi pelbagai inisiatif pendidikan termasuk program BUDI, BAGUS, BAKTI dan BAIK.

Katanya, kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan persekolahan, melaksanakan program kebajikan serta menyediakan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya bagi membantu golongan memerlukan.

Sehubungan itu, Aksyah menggesa Warisan dan pembangkang supaya mengemukakan kritikan yang membina serta menilai prestasi kerajaan berdasarkan pelaksanaan dasar dan projek pembangunan.

“Rakyat Sabah sudah matang. Mereka mahukan pembinaan, bukannya dongengan politik air liur,” tegasnya.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan