Kekurangan doktor: Sabah pantau pegawai perubatan tidak lapor diri

KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah sedang memantau rapat situasi susulan laporan mengenai pegawai perubatan yang tidak melapor diri bagi penempatan di negeri ini.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, walaupun urusan pelantikan dan penempatan pegawai perubatan berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, isu kekurangan doktor di Sabah terus diberi perhatian. 

Menurutnya, kerajaan negeri sebelum ini sudah membangkitkan isu Bayaran Insentif Wilayah (BIW) serta beberapa cadangan lain kepada Menteri Kesihatan menerusi perbincangan dan mesyuarat jawatankuasa berkaitan.

“Saya sebelum ini telah membangkitkan isu BIW, selain beberapa cadangan lain, kepada Menteri Kesihatan dalam perbincangan kami serta mesyuarat jawatankuasa berkaitan.

“Perkara ini sedang disusuli melalui perbincangan berterusan dan kita akan terus berhubung dengan Kerajaan Persekutuan bagi melihat bagaimana cadangan ini dapat dilaksanakan,” katanya.

Julita turut menyokong gesaan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) supaya BIW berasaskan peratusan dikembalikan, selain memperkukuh insentif bagi doktor yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak serta menambah baik bantuan perpindahan. 

Beliau berkata, kerajaan negeri akan menunggu keputusan penuh proses penempatan pegawai perubatan terbaharu sebelum menilai keadaan sebenar. Kementerian Kesihatan memaklumkan proses melapor diri masih berjalan dan pegawai perubatan terbabit diberi tempoh sehingga 7 Oktober. 

“Kita akan terus memantau situasi ini dan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi menangani keperluan tenaga kerja kesihatan di Sabah,” katanya.

Berita Berkaitan