Lelaki ditemukan maut 2km dari lokasi kereta terbabas

KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 27 tahun ditemukan meninggal dunia kira-kira dua kilometer dari lokasi sebuah Honda WR-V yang terbabas sebelum terjatuh ke dalam parit di Jalan Kawakaan di sini pada Khamis.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.55 petang Rabu.

Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 5.19 petang dan mendapati sebuah kereta terbabas ke dalam parit.

Bagaimanapun, pemeriksaan di dalam kenderaan serta kawasan sekitar tidak menemukan mangsa sebelum operasi ditangguhkan pada jam 8.10 malam atas arahan polis.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung pada pagi Khamis dengan pasukan bomba menjalankan pencarian di kawasan parit yang bersambung dengan anak sungai menggunakan kaedah pencarian di permukaan air.

Pada jam 10.28 pagi, mangsa berjaya ditemukan kira-kira dua kilometer dari lokasi kenderaan terbabas.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Operasi melibatkan keseluruhan 28 anggota dari BBP Lintas, BBP Penampang dan Zon Kota Kinabalu sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 12 tengah hari.

Berita Berkaitan