Kenaikan kuota BUDI beri kelegaan kepada Sabah, Sarawak
PUTRAJAYA: Kenaikan kuota asas subsidi petrol RON95 dan BUDI Diesel disifatkan memberi kelegaan kepada rakyat Sabah dan Sarawak, khususnya mereka yang bergantung kepada kenderaan persendirian untuk perjalanan jauh serta mengangkut hasil pertanian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, penyelarasan itu membuktikan kerajaan mengambil kira perbezaan keperluan bahan api mengikut wilayah, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Bagi Sabah dan Sarawak, langkah ini amat bermakna kerana jarak perjalanan yang jauh, taburan penempatan, keterbatasan pengangkutan awam serta kebergantungan terhadap kenderaan di luar bandar dan pedalaman.
“Dasar nasional Kerajaan Madani ternyata mengambil kira realiti geografi dan keperluan setiap wilayah supaya bantuan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukannya,” katanya menurut laporan FMT.
Pada 30 Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kuota subsidi RON95 dinaikkan semula kepada 300 liter sebulan mulai 1 September.
Kuota bagi kenderaan diesel pikap dan jip yang layak pula ditingkatkan kepada 400 liter sebulan.
Sebelum ini, kerajaan mengurangkan sementara kelayakan asas BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan sejak 1 April susulan ketidaktentuan bekalan bahan api akibat konflik di Asia Barat.

