Kerajaan teliti penempatan sementara pelajar terjejas kebakaran Numbak

KOTA KINABALU: Kerajaan sedang meneliti cadangan menempatkan sementara pelajar yang terjejas akibat kebakaran di Numbak di asrama sekolah yang masih mempunyai kekosongan bagi memastikan pembelajaran mereka tidak terganggu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, cadangan itu akan diteliti bersama Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, khususnya bagi pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta pelajar Tingkatan Enam.

Menurutnya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah sudah diminta mengenal pasti keperluan pelajar terbabit, termasuk pilihan menempatkan mereka di asrama sekolah lain sekiranya terdapat kekosongan.

“Kami akan fokus untuk bantu pelajar ini supaya ada suasana yang kondusif untuk mereka meneruskan pembelajaran,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan kepada Mangsa Kebakaran di Kolej Tingkatan Enam (Prauniversiti) Kota Kinabalu hari ini.

Mustapha berkata, berdasarkan pemerhatian awal, terdapat pelajar terjejas yang masih tinggal di khemah di lokasi kejadian serta di masjid, justeru keadaan itu perlu diberi perhatian.

Pada majlis berkenaan, sembilan pelajar Kolej Tingkatan Enam dan 129 murid SK Kebagu menerima bantuan kelengkapan sekolah.

Berdasarkan rekod JPN Sabah, seramai 410 pelajar daripada lapan sekolah terjejas akibat kebakaran itu.

Setiap pelajar terjejas akan menerima RM300 menerusi Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) Kecemasan, selain beg dan alat tulis.

Kebakaran di Kampung Numbak pada 30 Ogos lalu memusnahkan kira-kira 200 rumah atas air, manakala tiga mangsa ditemukan rentung.

Berita Berkaitan