Kerjasama strategik penting bagi memperluas Program Naungan Kasih di Sabah

KOTA KINABALU : Kerjasama strategik antara agensi kerajaan, institusi pendidikan, sektor korporat dan pertubuhan masyarakat sivil perlu diperkukuh bagi memastikan kesinambungan serta perluasan Program Keibubapaan Positif Naungan Kasih kepada lebih ramai keluarga di Sabah.

Setiausaha Tetap Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Maria Chong berkata, pembangunan keluarga perlu dilihat sebagai sebahagian daripada agenda kesejahteraan rakyat dan pembangunan modal insan negeri.

“Keayaan sesuatu program pembangunan sosial tidak seharusnya diukur melalui pelaksanaan projek semata-mata, tetapi juga melalui keupayaannya untuk diteruskan, diperluas dan disepadukan dalam perkhidmatan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program “Naungan Kasih Sabah: Meraih Impak, Memperkasa Kerjasama Strategik” anjuran Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) dengan sokongan UNICEF Malaysia di Hotel Marriott Kota Kinabalu hari ini.

Teks ucapan Chong dibaca oleh Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Henry Idol.

“Apabila kita melatih lebih ramai fasilitator di Sabah, program ini mampu dibawa ke lebih banyak daerah, termasuk di luar bandar,” Jais berkata.

Beliau turut menekankan kepentingan pendekatan pencegahan dalam kebajikan dan pembangunan sosial melalui pengukuhan kemahiran keibubapaan.

Majlis hari ini turut menampilkan dua sesi plenari yang mengetengahkan penemuan kajian, impak program, pengalaman rakan pelaksana serta perkongsian ibu bapa, selain penyampaian sijil pencapaian kepada para fasilitator.

Hadir bersama Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negeri Sabah Shahariah Saharom, Pegawai Perlindungan Kanak-Kanak UNICEF Malaysia Terry Saw dan Setiausaha Eksekutif MPMS Joeanne Lee.

Berita Berkaitan