Kesedaran autisme diperkasa, setiap kehidupan punya nilai
KENINGAU: Usaha membina masyarakat yang lebih memahami, menerima dan menghargai individu autistik terus diperkasakan menerusi penganjuran Minggu Kesedaran Autisme dan Program “Speak With Me” 2026 oleh Klinik Kesihatan Bingkor, baru-baru ini.
Bertemakan “Autism & Humanity – Every Life Has Value”, program itu membawa mesej bahawa individu autistik bukan sekadar memerlukan perhatian, sebaliknya penerimaan, empati dan sokongan berterusan daripada masyarakat. Pendekatan itu penting bagi meningkatkan kefahaman mengenai realiti kehidupan mereka, termasuk cabaran yang turut dihadapi keluarga dalam menyediakan persekitaran terbaik untuk perkembangan dan kesejahteraan golongan berkenaan.
Majlis perasmian dan penutupan yang berlangsung di Ruang Menunggu MCH Klinik Kesihatan Bingkor disempurnakan Pengerusi Sabah Net Sdn Bhd, Datuk Azman Ruslan. Turut hadir Pengerusi Panel Penasihat Pusat Klinik Kesihatan (PPKK) Bingkor, Dairian Karim dan Timbalan Pengerusi, Wong Jakol Langkab, bersama warga klinik serta peserta program.
Sepanjang minggu kesedaran itu, pelbagai pengisian berkaitan autisme, perkongsian maklumat dan aktiviti interaktif dilaksanakan bagi memberi pendedahan lebih menyeluruh kepada masyarakat. Program turut diserikan dengan kuiz dalam talian, penyampaian hadiah kepada pemenang serta sesi perkongsian yang membuka ruang kepada peserta mendalami keperluan dan cabaran individu autistik.
Penganjuran program diketuai Dr Ganesh Kumar bersama jawatankuasa pelaksana yang memastikan setiap aktiviti berjalan lancar. Inisiatif berkenaan turut memperlihatkan peranan penting institusi kesihatan di peringkat komuniti dalam memperluas pendidikan mengenai autisme serta menggalakkan masyarakat memberikan sokongan sewajarnya kepada individu berkeperluan khas dan keluarga mereka.
Program “Speak With Me” 2026 bukan sekadar medan meningkatkan pengetahuan mengenai autisme, malah membawa aspirasi lebih besar untuk membentuk komuniti yang inklusif dan penyayang. Mesej “Every Life Has Value” menjadi peringatan bahawa setiap individu mempunyai nilai, kebolehan dan potensi tersendiri yang harus diberikan ruang untuk berkembang serta dihargai tanpa diskriminasi.

